Selamat Datang, Tetamu | Log Masuk.

CAJ PENGHANTARAN
JUMLAH KESELURUHAN

Sila tunggu...

STATISTIK JUALAN DI POPULAR BERBANDING KEDAI ONLINE BUKU FIXI

Popular ialah rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia, dengan lebih 70 cawangan di seluruh negara termasuk di Semenanjung Malaysia. (Terlalu klise untuk kata "termasuk Sabah & Sarawak" kan?)

Apabila Popular tak senang dengan dua judul Fixi iaitu MURTAD dan HILANG pada Ogos 2012, lantas tidak sudi menjual dua novel itu, kebimbangan kami ialah periuk risotto kami akan terjejas. Tetapi sesuatu yang aneh berlaku. Pada bulan November 2012, MURTAD masuk cetakan kedua. Dan pada bulan ini (Januari 2013) HILANG juga masuk cetakan kedua. Ini membuktikan bahawa cetakan pertama kedua-dua novel ini mampu soldout biarpun 70+ kedai tidak menjualnya.

Benda yang sama berlaku kepada CERPEN NADIA KHAN yang dicetak pada bulan September 2012 tapi diulangcetak hanya dua bulan setelah itu – biarpun Popular tidak menjual buku ini.

Kemudian kami mendapat statistik jualan semua buku Fixi di rangkaian Popular dari April 2011 (penubuhan Fixi) ke September 2012. Rupa-rupanya jualan total Fixi sepanjang 18 bulan itu di seluruh rangkaian Popular ialah 7,353 buku (paling tinggi KELABU 940 bijik; paling rendah SITORA HARIMAU JADIAN hanya 50 bijik). Iaitu purata 408 buku setiap bulan di seluruh rangkaian Popular.

Reaksi pertama kami: biaq betik!

Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding angka jualan di MPH (yang hanya ada sekitar 30 cawangan) dan event-event yang Fixi join dalam rangka Jelajah Lejen Fixi.

Bukan itu saja.

Kedai online Fixi bermula pada April 2011. Pada bulan pertama, kami jual hanya 78 buku. (Masa tu ada 3 judul jer).

Kemudian pada bulan Oktober 2012, kami mulakan promosi 6-PACK FIXI dan juga membuka akaun Maybank (di samping Public Bank yang sedia ada) untuk memudahkan pembelian online. Hasilnya:

Oktober 2012: 1,214 buku dijual

November 2012: 912 buku dijual

Disember 2012: 1,644 buku dijual.

Kesimpulan yang aneh tapi benar: Jualan bulanan kedai online Fixi adalah beberapa kali ganda jualan bulanan di seluruh rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia.

Minda = disenggama.

Sebelum ini, sangkaan mudah ialah 'rakyat Malaysia malas beli benda secara online'. Tapi nombor-nombor di atas membuktikan sebaliknya.

Pembaca Fixi semakin rajin mencari buku-buku Fixi dan semakin selesa beli online. Wujud juga kedai-kedai yang sangat proaktif seperti I Love Novel di Kedah & Perlis yang sering stok buku-buku kami sebelum ia dijual di KL pun. Dan Kedai Hitam Putih di Kelantan dan Gobok Buku di Johor. Juga ejen jualan seperti Sepena Raya dan Kartel Buku dan Azizan Hamsin Trading yang sangat membantu. Dan yang paling hebat, Lejen Press yang tak pernah kenal lelah semasa menjelajah; dan pengedar rasmi kami Gerakbudaya yang uruskan kedai-kedai seperti MPH, Times, Kinokuniya, Borders & yang terkini Kedai Buku 1Malaysia.

Jadi kami sebenarnya tak kisah sangat jika mana-mana kedai buku tak nak ambil mana-mana buku Fixi.  Rezeki bukan di tangan mereka. Tapi kami TETAP harap, sebagai syarikat kurun ke-21, para pengurus mereka sekurang-kurangnya belajarlah teknik membalas emel ye? Ituuu saja yang kami mintak. Serius.

*Nota Akhir: Ada yang kata Fixi tak sepatutnya emel Popular saja tapi sepatutnya telefon. Untuk makluman semua, dua panggilan telefon telahpun dibuat. Setiap panggilan tak sampai 1 minit sebab wakil Popular yang menjawab (tak perlulah disebut namanya) asyik cakap "I ada banyak kerja penting ni. Emel sajalah."